1. Al Quran diturunkan untuk dibaca, dihafal, dihayati, diamalkan dan disebarkan. Semua tuntutan ini dibuat dengan tertib agar hikmah nya dapat diperolehi dengan betul sesuai dengan tujuan diturunkan Al-Quran itu.

2. Hukum menghafal al quran menurut ulama adalah Fardhu Kifayah atau Sunat Ain ke atas sekalian muslimin dan muslimat.

Berpeluang membaca dan menghafal al quran adalah satu nikmat yang perlu disyukuri dan dipelihara. Allah SWT berfirman:

ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا

Artinya: “Kemudian Kitab itu (Al-Quran) Kami wariskan kepada orang-orang yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami”
(QS Faathir: 32).

3. Namun bagi yang telah menghafal al quran tetapi lemah dalam hafalannya atau tidak ingat apa yang telah dihafalnya maka perlu mengambil perhatian atas peringatan Nabi SAW ini. Hadith daripada Abdullah R.A:

بِئْسَمَا لأَحَدِهِمْ يَقُولُ نَسِيتُ آيَةَ كَيْتَ وَكَيْتَ بَلْ هُوَ نُسِّيَ اسْتَذْكِرُوا الْقُرْآنَ فَلَهُوَ أَشَدُّ تَفَصِّيًا مِنْ صُدُورِ الرِّجَالِ مِنَ النَّعَمِ بِعُقُلِهَا

Maksudnya: Celakalah bagi sesiapa yang berkata “aku lupa ayat al-Quran sekian-sekian”, bahkan hendaklah dia berkata “aku telah dilupakan darinya”. Sentiasalah membaca dan mengingati al-Quran, kerana ia lebih mudah terlepas daripada dada dan ingatan manusia daripada unta terlepas daripada talinya.

(HR Bukhari & Muslim)

4. Ulama berbeza pendapat tentang kedudukan orang yang menghafal al-Quran tetapi tidak ingat atau lupa. Secara ringkas antaranya;

a) Syeikh Zakariyya al-Ansari berpendapat haram hukumnya melupakan hafazan al-Quran dan manakala Imam al-Ramli pula berpendapat ia haram jika disebabkan kecuaian dan malas, dan ia merupakan salah satu dosa besar.

b) Imam Ibn Hajar menyebut beberapa riwayat daripada salaf, dimana ada yang menganggapnya sebagai antara dosa-dosa besar.

c) Menurut Imam al-Syaukani melupakan hafazan al-Quran merupakan antara dosa terbesar daripada kategori dosa-dosa kecil sekiranya ia tidak disertai dengan niat meremehkan keagungan al-Quran.

5. Jika diperhatikan pendapat-pendapat ulama ia terarah kepada satu peringatan yg keras terhadap sesiapa yang telah dikurniakan peluang untuk menghafal Al-Quran namun dilupakan. Ini adalah seperti pendapat Ibn Husamuddin al-Rahmani bahawa Hafazan al-Quran juga merupakan salah satu nikmat Allah SWT yang amat mulia, maka melupakannya bereri mengkufuri nikmat yang telah diberi.

Kesemua pendapat Ulama bukan lah bertujuan menakutkan orang Islam untuk menghafal Al-Quran atau yang telah menghafal al-Quran. Kerana jika hafalan terlupa kerana kesibukan dalam mempelajari ilmu-ilmu yang lain adalah tidak berdosa.

Ibn Rusyd juga menukilkan ijma’ bahawa jika seseorang itu terlupa hafazan al-Qur’an kerana sibuk mempelajari ilmu-ilmu yang wajib dan ilmu-ilmu sunat, dia tidak berdosa.

Adapun jika terlupa disebabkan tabiat sifat manusiawi, maka juga tidaklah berdosa, kerana Nabi SAW sendiri pernah terlupa sebahagian ayat al-Quran. Daripada ‘Aisyah R.Anha:

سَمِعَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم رَجُلاً يَقْرَأُ فِي سُورَةٍ بِاللَّيْلِ فَقَالَ ‏ "‏ يَرْحَمُهُ اللَّهُ لَقَدْ أَذْكَرَنِي كَذَا وَكَذَا آيَةً كُنْتُ أُنْسِيتُهَا مِنْ سُورَةِ كَذَا وَكَذَا

Maksudnya: Rasulullah SAW mendengar seorang lelaki membaca satu surah dari al-Quran pada suatu malam, dan bersabda: “Moga Allah SWT merahmatinya, dia telah memperingatkan kepada aku suatu ayat daripada satu surah al-Quran yang telah dilupakan daripada aku.

(HR Bukhari dan Muslim)

6. Ayuh, jadikan diri kita atau zuriat kita salah seorang daripada penghafal Al-Quran. Pada mereka yang telah menghafal atau yang sedang dalam proses menghafal teruskan usaha. Berakhlak la sebagai ahli Al Quran agar ia selari dengan keagungan al Quran.

Rasulullah SAW;

إِنَّ لِلَّهِ أَهْلِينَ مِنَ النَّاسِ قَالُوا : مَنْ هُمْ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ : أَهْلُ الْقُرْآنِ هُمْ أَهْلُ اللَّهِ وَخَاصَّتُهُ

“Sesungguhnya Allah mempunyai keluarga di antara manusia, para sahabat bertanya, “Siapakah mereka ya Rasulullah?” Rasul menjawab, “Para ahli Al Qur’an. Merekalah keluarga Allah dan hamba pilihanNya” (HR. Ahmad)

Berkata guru ku Syeikh Abdul Rahim Al Banna: Jika kamu tinggalkan al Quran sehari ia akan tinggalkan kamu seminggu, Jika kamu tinggalkan al Quran seminggu ia akan tinggalkan kamu sebulan, Jika kamu tinggalkan al Quran sebulan ia akan tinggalkan kamu setahun dan jika kamu tinggalkan al Quran setahun ia akan tinggalkan selama-lamanya.

Wallahualam

Wan Husaimi Bin Wan Amran
Timbalan Qhadi Daerah Maran

PENGUMUMAN

  

Kenyataan Tawaran Sebutharga : Sebutharga   

Layari laman web:- http://sman.pahang.edu.my
untuk maklumat Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Pahang   


SISTEM ONLINE & MEDIA BAHARU

SPSMA
Sistem ESMA
E-Masjid
Sistem Pengurusan Masjid
DMC Firewall is a Joomla Security extension!