JAIP

MAJLIS PENGUMUMAN KEPUTUSAN SIJIL MENENGAH AGAMA (SMA) NEGERI PAHANG BAGI TAHUN 2022

Chenor, 17 Mac 2023 / 24 Syaaban 1444 – Majlis diadakan di Sekolah Menengah Agama Chenor, Maran. Pengumuman keputusan SMA oleh YB Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang. Hadir sama YH Dato’ Dr. Haji Zulkifle bin Haji Ali, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Al-Fadhil Ustaz Zaidi bin Ismail, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JAIP, Para pengetua Sekolah Menengah Agama Kerajaan Pahang, Para pengetua Sekolah Menengah Agama Rakyat, Pengetua Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, seluruh warga kerja Bahagian Pendidikan JAIP dan pelajar-pelajar.
 
 
Secara keseluruhan, mengikut Gred Purata Negeri (GPN) bagi Sijil Menengah Agama tahun 2022 adalah 2.93 berbanding pada tahun 2021 tercatat 3.39, iaitu meningkat sebanyak 0.46. Dari jumlah tersebut, 7 mata pelajaran SMA telah mencatat peningkatan gred kecuali 3. Mata pelajaran tersebut adalah mata pelajaran Al-Quran,Tauhid dan Adab Nusus yang telah menunjukkan prestasi yang menurun dengan GPMP masing-masing al-Quran (2.04), Tauhid (3.62), dan Adab Nusus (4.71) bagi tahun 2022, berbanding al Quran (1.79), Tauhid (3.58), dan Adab Nusus (4.06) bagi tahun 2021, iaitu dengan penurunan sebanyak -0.30 ( al Quran ), -0.04 (Tauhid) dan -0.65 ( Adab Nusus ).
 
 
Seramai 1507 orang calon telah mendaftar untuk menduduki Peperiksaan SMA. Dari jumlah tersebut, 1316 orang adalah merupakan calon dari 18 buah Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN), 138 orang dari 6 buah Sekolah Agama Rakyat (SAR), 31 orang dari 1 buah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan 22 orang calon persendirian. Dari 1507 orang calon yang berdaftar, 1485 calon yang telah menduduki peperiksaan SMA, 108 orang calon (7.27%) telah mendapat MUMTAZ SOFI atau MUMTAZ dalam kesemua 10 mata pelajaran SMA.
 
195 orang calon (13.13%) mendapat pangkat Mumtaz (Cemerlang), 281 orang (18.92%) mendapat pangkat Jayyid Jiddan (Amat Baik), 399 orang (26.87%) mendapat pangkat Jayyid (Baik), 112 orang (7.54%) mendapat pangkat Maqbul (Lulus), 378 orang (25.45%) mendapat pangkat Rasib (Gagal) ,
12 orang Tidak Hadir peperiksaan. Jika merujuk kepada Gred Purata Sekolah (GPS), secara umumnya 22 buah pusat peperiksaan telah mencatatkan peningkatan pada GPS masing-masing manakala 3 buah pusat peperiksaan lagi menunjukkan prestasi menurun.
 
Berdasarkan analisa, Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah, Pekan masih mengungguli tempat teratas di antara kesemua 25 buah pusat peperiksaan. Tahniah diucapkan kepada sekolah ini, yang bukan hanya memegang GPS tertinggi, malah berjaya mengekalkan kedudukan teratas keputusan SMA di dalam SMAN sejak tahun 2013. 4 buah sekolah peningkatan Gred Purata Sekolah paling cemerlang bagi SMAN iaitu, SMA Al-Khairiah 2.65 pada 2021 kepada 2.56 pada 2022 meningkat ( 0.93 ), SMA Al Ulum Ad Diniah Dong, 3.18 pada 2021 kepada 2.29 pada 2022 meningkat ( 0.89 ) Maahad As Sultan Ahmad Shah Ad Dini 3.51 pada 2021 kepada 2.75 pada tahun ini ( 0.76 ), dan SMA Chenor 3.15 pada 2021 kepada 2.44 pada 2022 meningkat ( 0.71 ).
 
Tidak ketinggalan bagi Sekolah Menengah Agama Rakyat yang turut menunjukkan peningkatan. 3 buah sekolah tersebut ialah SMA Islam Al Irsyad Balok dengan pencapaian 2.58 pada 2022 berbanding 3.78 pada tahun lepas dengan peningkatan sebanyak 1.20, manakala SMA Taufikiah Tanjung Besar mencatatkan peningkatan 3.89 pada tahun 2022 berbanding 4.25 pada tahun 2021.