JAIP

PERUTUSAN PENGARAH

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T , selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W kerana dengan izin serta petunjukNya, JAIP yang ditubuhkan pada tahun 1926 telah mencapai usia 94 tahun pada tahun 2020.

Sebagaimana yang sedia maklum, sesungguhnya perubahan dan kemajuan pesat dalam  persekitaran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di abad ini telah mengunjurkan kesan yang signifikan  terhadap pembangunan sistem pengurusan organisasi di peringkat domestik dan global. Justeru, kemampuan untuk  meraih manfaat yang timbul daripada kemajuan ICT banyak bergantung kepada keupayaan dan kapasiti  sesebuah organisasi untuk membuat penyesuaian dan menerima perubahan yang berlaku.

Dalam menempuh era globalisasi dan mengurangkan jurang digital, kita perlulah memperkasakan diri dengan menyediakan pelbagai maklumat yang berguna bagi melaksanakan fungsi dan peranan utama organisasi. Oleh yang demikian, adalah menjadi hasrat JAIP untuk memastikan semua aspek pengurusan dan pentadbiran hal ehwal Islam diurus dengan penuh amanah dan berhikmah melalui pengamalan nilai-nilai murni yang dikongsi bersama sesuai dengan imejnya sebagai sebuah agensi Islam. Pembudayaan dan penggunaan ICT merupakan satu kemestian di kalangan warga kerja di jabatan ini bagi memperkemaskan serta melonjakkan sistem penyampaian kerajaan menjadi lebih cekap dan berkesan.

Portal Rasmi ini merupakan saluran komunikasi yang penting dalam menyediakan perkhidmatan dan penyebaran maklumat kepada pengguna kerana ianya dapat dicapai di mana jua tanpa mengira had masa. Selain itu, saya berharap portal ini dapat menyediakan semua maklumat yang tepat dan terkini bagi memenuhi kehendak kakitangan awam agensi lain dan juga orang awam.

Akhir kata, syabas kepada warga kerja JAIP di atas komitmen membangunkan Portal Rasmi ini dan saya selaku Pengarah JAIP mengucapkan Selamat Datang kepada mereka yang melayari Portal kami dan mengalu-alukan respon yang membina dari semua pihak bagi membantu kami melaksanakan tugas dan tanggungjawab sekaligus memberikan mutu perkhidmatan yang terbaik bagi manfaat kita bersama.

 

YH DATO’ DR HAJI ZULKIFLE BIN HAJI ALI AL-HAFIZ, DSAP., DIMP., SMP.

PENGARAH

JABATAN AGAMA ISLAM PAHANG