JANDA BAIK – 16 November 2022 – Program bertempat di Pusat Pendidikan Fathonah, Janda Baik, Bentong dihadiri oleh pelajar Pusat Pendidikan Fathonah, pelajar Maahad Tahfiz sekitar kampung Janda Baik, Masyarakat Orang Asli Kampung Chemperoh dan penduduk kampung Janda Baik. Program dimulakan dengan Seminar Kesihatan Pergigian yang disampaikan oleh Dr Dashini Asir daripada Klinik Pergigian Karak.
Seterusnya majlis perasmian program yang disempurnakan oleh YH Dato’ Dr Haji Zulkifle bin Haji Ali, Pengarah JAIP. Diikuti dengan sesi pemeriksaan gigi yang terbuka kepada orang ramai. Majlis diteruskan dengan Seminar Undang-undang Syariah Pahang yang disampaikan oleh Ustaz Abdullah bin Hashim, Pegawai Penguatkuasa Agama JAIP.
Program turut dimeriahkan dengan pameran daripada pihak Bomba Janda Baik, pameran Bahagian Halal dan Bahagian Penguatkuasaan JAIP. Hadir sama Tuan Haji Mohd Fadzli bin Mat Saman, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAIP, Tuan Haji Ahmad Zaharuddin bin Alias, Qadhi Daerah Bentong, Ustaz Yahya bin Yusof, Pengurus Pusat Pendidikan Fathonah, Ustaz Ahmad Termizi bin Zainuddin, Ketua Pembantu Tadbir Bahagian Operasi Yayasan Pahang, Dr Balqis binti Zulkifle, Klinik Pergigian Dr Balqis Semenyih, serta warga kerja Klinik pergigian Karak.
Program perintis seperti ini diadakan bagi membuka peluang kepada alumni SMAN, MTNP serta anak Pahang terutamanya yang pernah mendapat tajaan Yayasan Pahang, Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang untuk kembali berkhidmat sebagai sukarelawan di Negeri Pahang.
Program ini merupakan anjuran bersama Jabatan Agama Islam Pahang, Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang, Yayasan Pahang, Klinik Pergigian Bentong, Jabatan Kemajuan Orang Asli Bentong dan Pusat Pendidikan Fathonah.