Seminar Kependudukan Peringkat Negeri Pahang Tahun 2026 dengan tema “Kelestarian Pendidikan Kesihatan Reproduktif & Sosial Pemacu Agenda Negeri” telah diadakan pada 16 November 2026 di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan.
Acara ini dianjurkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Keluarga, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP). Tujuannya ialah memperkukuh kesedaran dan kefahaman tentang pendidikan kesihatan reproduktif serta sosial dalam menghadapi cabaran kependudukan dan isu sosial semasa.
Majlis perasmian dirasmikan oleh YB Dato’ Ir. Razali bin Kassim, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang. Kehadiran lain termasuk YH Dato’ Haji Abdul Zaki bin Md. Zain, Timbalan Pengarah JAIP; YBrs. Encik Hairil Fadzly bin Md Akir, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) LPPKN; YBrs. Dr. Haji Saiful Azlan bin Haji Sharif, Pengarah Kesihatan Negeri Pahang; serta YBrs. Puan Nurfarhana Lee binti Mohd Zulkiflee Lee, Pengarah LPPKN Negeri Pahang.
Seminar ini menampilkan pembentangan kertas kerja, pertandingan podcast dan forum perbincangan yang memberi ruang kepada perkongsian ilmu, pertukaran pandangan serta perbincangan mengenai isu kesihatan reproduktif, pembangunan sosial dan kesejahteraan institusi keluarga.
Penyertaan JAIP menunjukkan komitmen jabatan dalam memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi berkaitan bagi menangani isu sosial, khususnya dalam kalangan remaja, serta memperkasakan nilai agama dan institusi keluarga sebagai asas masyarakat berakhlak, harmoni dan sejahtera.
Usaha bersepadu ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat dan melahirkan generasi yang berpengetahuan, beridentiti serta berdaya tahan, selari dengan agenda pembangunan mampan Negeri Pahang.