Utama Tentang JAIP Sejarah JAIP

Sejarah JAIP

Jabatan Agama Islam Negeri Pahang Darul Makmur (JAIP) adalah salah sebuah dari Jabatan/Pejabat Kerajaan Negeri di Negeri Pahang Darul Makmur dan beribu pejabat di Pekan.

Jabatan Agama Islam Negeri Pahang ditubuhkan pada tahun 1926, dikenali dengan nama Majlis Anggota Islam. Pada masa itu pengurusannya terletak di bawah tanggungjawab Tengku Besar Pahang, Al-Marhum Yang Amat Mulia Tengku Besar Sulaiman Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad yang dilantik sebagai ketuanya yang pertama.

Ia mula beroperasi di sebuah bangunan kayu yang kecil berhampiran dengan tempat kediaman Al-Marhum. Kemudian pejabatnya dipindahkan ke Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan sehingga akhir tahun 1951, seterusnya dipindahkan pula ke Balai Hinggap di pinggir sungai di Pekan Lama, Pekan. Pada 25 Mei 1973, Jabatan Agama Islam Negeri Pahang telah dengan rasminya ditempatkan di bangunan sekarang ini.

Peringkat Awal Penubuhan

Pada awal penubuhannya, bidang tugas Jabatan Agama Islam Negeri Pahang berkisar kepada aspek pentadbiran, pengurusan nikah cerai dan rujuk serta Mahkamah Syariah. Ia hanya dianggotai oleh seorang Ketua Jabatan, seorang Mufti dan empat orang Kerani.

Pada tahun 1956, Undang-Undang Majlis Anggota Islam telah dipinda dan diganti dengan Undang-Undang Tadbir Agama Islam Tahun 1956. Serentak dengan itu, Pejabat Qadhi Daerah telah diwujudkan di Rompin, Pekan, Kuantan, Chenor, Temerloh, Jerantut, Lipis, Bentong, Raub dan Cameron Highlands.

Perkembangan Jabatan

Pada tahun 1960-an dan seterusnya, Jabatan Agama Islam Negeri Pahang telah mengalami perkembangan pesat dari segi bidang tugas. Bahagian dan unit-unit baru diwujudkan sejajar dengan penambahan bilangan kakitangan, pengambilalihan sekolah-sekolah Agama Rakyat dan pengujudan Masjid-Masjid Daerah.