YH Tok Muda Dato' Haji Ahmad Khirrizal bin Haji Ab. Rahman, DSAP., DIMP., SAP., AAP.
Pengarah
Jabatan Agama Islam Negeri Pahang
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T., selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Dengan izin serta petunjuk-Nya, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) yang ditubuhkan pada tahun 1926 kini genap berusia 100 tahun pada Tahun 2026 dan ianya satu pencapaian bersejarah menandakan seabad perkhidmatan JAIP kepada agama, bangsa dan negara.
Seperti yang kita maklumi, kemajuan pesat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pada abad ini telah memberi impak besar terhadap pembangunan sistem pengurusan organisasi, baik di peringkat domestik mahupun global. Dalam konteks ini, kemampuan sesebuah organisasi untuk memanfaatkan kemajuan ICT bergantung kepada keupayaan mereka menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku.
Dalam menempuh era globalisasi serta mengurangkan jurang digital, kita perlu memperkasakan diri dengan menyediakan pelbagai maklumat berguna bagi melaksanakan fungsi dan peranan utama organisasi. Oleh itu, JAIP beriltizam memastikan pengurusan dan pentadbiran hal ehwal Islam diurus dengan penuh amanah dan berhikmah, selaras dengan imejnya sebagai sebuah agensi Islam yang disegani. Pembudayaan dan penggunaan ICT kini menjadi keperluan utama bagi warga kerja JAIP dalam memperkemaskan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan agar lebih cekap, berkesan dan responsif terhadap perubahan semasa.
Portal Rasmi ini merupakan saluran komunikasi yang amat penting dalam menyediakan perkhidmatan serta penyebaran maklumat kepada pengguna. Dengan capaian yang boleh diperoleh di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa, ia membolehkan maklumat sampai kepada semua tanpa sempadan waktu dan lokasi. Saya berharap portal ini dapat terus menyediakan maklumat yang tepat dan terkini bagi memenuhi kehendak bukan sahaja kakitangan awam, malah orang awam secara keseluruhannya.
Sempena JAIP menyambut ulang tahun ke-100 pada tahun ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga kerja JAIP atas dedikasi dan komitmen sepanjang perjalanan seabad ini, termasuk usaha membangunkan Portal Rasmi ini. Saya mengucapkan Selamat Datang kepada semua yang melayari portal ini dan mengalu-alukan sebarang maklum balas serta respons yang membina daripada semua pihak, bagi membantu kami melaksanakan tugas dan tanggungjawab demi memastikan mutu perkhidmatan yang terbaik untuk manfaat kita bersama.