
- Butiran
- Kategori: BERITA
- Jumlah paparan: 60
MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN DAN PENGURNIAAN HADIAH TILAWAH DAN HAFAZAN AL-QURAN PERINGKAT NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR
Kuantan, 5 Februari 2026M / 14 Sya’ban 1447H – Majlis perasmian penutupan Majlis Tilawah Dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Kali Ke 69 Tahun 1447H/2026M telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah.

Turut sama berangkat Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut mengiring ialah YAM Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Timbalan Mufti Negeri Pahang, memohon keberkatan serta kelancaran perjalanan majlis. Acara diteruskan dengan pengumuman keputusan rasmi Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran oleh YH Tok Muda Dato’ Hj Ahmad Khirrizal bin Ab Rahman, Pengerusi Jemaah Hakim, sekali gus menobatkan para pemenang bagi kategori tilawah dan hafazan.


Hadirin seterusnya diperdengarkan dengan persembahan bacaan Al-Quran oleh Johan Qari serta persembahan hafazan oleh peserta terbaik, sebagai simbol penghargaan terhadap kecemerlangan para peserta.
Majlis turut diserikan dengan ucapan oleh YB Dato’ Sri Hj Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Kali Ke-69.
Kemuncak majlis ialah Titah Diraja Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, yang menzahirkan sokongan berterusan terhadap usaha memartabatkan syiar Islam serta memperkasakan budaya membaca, memahami dan menghayati Al-Quran di negeri ini.
Majlis diteruskan dengan upacara pengurniaan hadiah kepada para pemenang yang telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang.
Sejurus selesai istiadat penyampaian hadiah, majlis diteruskan dengan Santapan Diraja sebelum Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang berangkat meninggalkan majlis.
Majlis ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Pahang dalam memartabatkan Al-Quran serta melahirkan generasi yang cintakan dan berpegang teguh kepada ajaran Islam.