
- Butiran
- Kategori: BERITA
- Jumlah paparan: 281
Temerloh, 16 Mac 2026M / 26 Ramadan 1447H – Majlis Penyampaian Bantuan Khas Aidilfitri (BKA) Tahun 1447H/2026M kepada para Imam, Bilal, Siak, Guru Takmir, Wali Hakim serta Badan Khairat Kematian bagi Daerah Temerloh (DUN Kerdau & Jenderak) telah diadakan di Dewan Hubabah, Bukit Seding, Kuala Krau, Temerloh.
Majlis penyampaian telah disampaikan oleh YB Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang selaku wakil rasmi YAB Menteri Besar Pahang.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah YH Dato’ Abdul Zaki bin Md Zin, Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Barisan Ketua-Ketua Penolong Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang serta Ybrs Tuan Abdul Aziz bin Abdul Karim, Al Fadhil Qadhi Daerah Temerloh.
Seramai 41 orang imam, 35 orang bilal, 37 orang siak, 8 orang guru takmir dan 9 wali hakim telah menerima Bantuan Khas Aidilfitri pada majlis tersebut. Selain itu, sebanyak 13 Badan Khairat Kematian turut menerima sumbangan yang disalurkan bagi membantu melancarkan pengurusan kebajikan masyarakat setempat.
Jumlah keseluruhan peruntukan yang diagihkan bagi Daerah Temerloh (DUN Kerdau & Jenderak) adalah sebanyak RM 35,300.00, sebagai tanda penghargaan atas khidmat bakti dan komitmen berterusan para petugas agama dalam memakmurkan masjid serta memperkukuh institusi keagamaan di peringkat akar umbi.
- Butiran
- Kategori: BERITA
- Jumlah paparan: 192
Lipis, 13 Mac 2026 / 23 Ramadan 1447H – Kebawah Duli Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat menunaikan Solat Subuh di Masjid Sultan Mahmud.

Turut mengiringi Kebawah Duli Paduka Baginda ialah YH Tok Muda Dato’ Hj Ahmad Khirrizal bin Ab Rahman, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang serta Tuan Zainudin bin Zakaria, Al-Fadhil Qadhi Daerah Lipis.
Seusai menunaikan solat, Paduka Baginda turut berkenan menyantuni para jemaah yang hadir di masjid berkenaan.
- Butiran
- Kategori: BERITA
- Jumlah paparan: 240
Jerantut, 11 Mac 2026M / 21 Ramadan 1447H – Kebawah Duli Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Masjid Baharu Kampung Simpang Tebing Tinggi, hari ini.

Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut mengiringi keberangkatan Paduka Baginda ialah Yang Amat Berhormat Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang; Yang Berhormat Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; YH Tok Muda Dato’ Haji Ahmad Khirrizal bin Haji Ab Rahman, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang; serta ketua-ketua jabatan.


Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, diikuti ucapan oleh YB Tuan Haris Salleh bin Hamzah, Ahli Dewan Negeri Pahang.
Majlis diteruskan dengan Titah Diraja Kebawah Duli Paduka Baginda sebelum Baginda berkenan memasyhurkan masjid baharu tersebut dengan nama Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Kampung Simpang Tebing Tinggi.
Paduka Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf dan mereka yang memerlukan.
- Butiran
- Kategori: BERITA
- Jumlah paparan: 352
Melaka, 6 Mac 2026 / 16 Ramadan 1447H – Majlis Tilawah Al-Quran Antarabangsa Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Kali Ke-16 Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi anjuran bersama Majlis Agama Islam Melaka telah berlangsung pada 4 hingga 6 Mac 2026 bersamaan 14 hingga 16 Ramadan 1447 Hijrah.
Majlis ini melibatkan penyertaan seramai 75 orang peserta yang terdiri daripada qari dan qariah dari beberapa buah negara antaranya Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Sri Lanka.
Majlis Perasmian Penutupan dan Penyampaian Hadiah telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka.

Bagi kategori qari, johan telah dimenangi oleh wakil Negeri Pahang iaitu Mohamad Syaheed bin Sabri Al-Hafiz. Tempat kedua dimenangi oleh Encik Muhammad Miftah Fariol dari Jakarta, Indonesia manakala tempat ketiga dimenangi oleh Encik Arif Hidayat dari Lampung, Indonesia.
Bagi kategori qariah pula, johan telah disandang oleh Puan Sintia Febriani dari Kalimantan Tengah, Indonesia. Naib johan dimenangi oleh Puan Ma’rifah dari Sulawesi Selatan, Indonesia manakala tempat ketiga dimenangi oleh Puan Sunarti Larisa dari Sulawesi Tengah, Indonesia.
Johan kategori qari dari Negeri Pahang telah membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000.00 berserta plak dan sijil.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pemenang, khususnya wakil Negeri Pahang atas kejayaan yang membanggakan ini.
- Butiran
- Kategori: BERITA
- Jumlah paparan: 237
Temerloh, 25 Februari 2026 / 7 Ramadan 1447H – Jabatan Agama Islam Pahang telah menganjurkan Majlis Pengumuman Keputusan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) Negeri Pahang Tahun 2025 yang berlangsung di Hotel Seri Malaysia Temerloh.
Majlis telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang.
Turut hadir ialah Tuan Haji Ahmad Zamri bin Md Isa, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang; Tuan Zaidi bin Ismail, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JAIP serta Al-Fadhil Qadhi-Qadhi Daerah.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan serta pengumuman rasmi keputusan UPKK Tahun 2025 oleh YH Dato’ Haji Ahmad Khirrizal bin Ab Rahman, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang.
Seramai 1,977 orang calon berjaya memperoleh agregat 9A, sekali gus mencerminkan pencapaian yang amat membanggakan bagi Negeri Pahang Darul Makmur.
Bagi kategori Daerah Terbaik UPKK Negeri Pahang Tahun 2025, kedudukan adalah seperti berikut:
- Tempat Pertama: Bandaraya Kuantan
- Tempat Kedua: Raub
- Tempat Ketiga: Maran
Pelajar Terbaik UPKK Negeri Pahang Tahun 2025 telah disandang oleh Safiyyah binti Khairul Anwar dari Daerah Kuantan Barat dengan pencapaian 99.00%.


Majlis diteruskan dengan ucapan perasmian oleh YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim bin Syed Ahmad yang menzahirkan penghargaan kepada para guru, ibu bapa serta semua pihak yang komited dalam memperkasa pendidikan Islam di Negeri Pahang Darul Makmur.
Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah dan sijil penghargaan kepada para penerima anugerah bagi kategori Murid Cemerlang UPKK 2025, Murid Terbaik UPKK 2025, Sekolah Cemerlang UPKK 2025, Sekolah Terbaik UPKK 2025, Daerah Terbaik UPKK 2025 serta Pencapaian Terbaik UPKK 2025 Peringkat Daerah.
Penganjuran majlis ini mencerminkan komitmen berterusan JAIP dalam memperkukuh sistem pendidikan KAFA serta melahirkan generasi al-Quran yang berilmu, berakhlak mulia dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi pembangunan ummah di Negeri Pahang.
Lebih banyak artikel..
- MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN DAN PENGURNIAAN HADIAH TILAWAH DAN HAFAZAN AL-QURAN PERINGKAT NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR
- PENGARAH JABATAN AGAMA ISLAM NEGERI PAHANG TERIMA SIJIL PENGHARGAAN PEGAWAI INTEGRITI BERTAULIAH
- PROGRAM PRIHATIN AD-DIN DAERAH CAMERON HIGHLANDS TAHUN 2025
- KUNJUNG HORMAT BAHAGIAN HALAL JAIP KE BAHAGIAN PERANCANGAN EKONOMI NEGERI (BPEN)
Halaman 1 dari 5