
- Butiran
- Kategori: BERITA
- Jumlah paparan: 774
Pekan - 23 Ogos 2025M / 25 Safar 1447H. Kemeriahan jelas terasa apabila Kulliah Al-Lughah Waddin Sultan Abu Bakar Pahang (Kulliah Sultan Abu Bakar) menganjurkan Majlis Hari Graduasi Sesi 2024/2025 bagi meraikan kejayaan para pelajarnya yang telah menamatkan pengajian dengan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2024.


Majlis penuh bermakna itu diserikan dengan kehadiran Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, YH Dato’ Haji Ahmad Khirrizal bin Haji Ab Rahman, diiringi Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan, YBrs Tuan Zaidi bin Ismail, serta Pengetua Kulliah Sultan Abu Bakar, YBrs Tuan Lebai Idris bin Ali. Turut hadir para pendidik, ibu bapa, serta ahli keluarga pelajar yang menjadi tulang belakang kejayaan mereka.


Seramai 259 orang pelajar diraikan dalam majlis tersebut dengan pencapaian membanggakan:
- 11 orang pelajar mendapat keputusan Mumtaz,
- 61 orang memperoleh Jayyid Jiddan,
- 161 orang mendapat Jayyid, dan
- 26 orang memperoleh Maqbul.
Kejayaan ini sekaligus mencerminkan komitmen berterusan pihak kulliah dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah berakhlak dan berdaya saing dalam mendepani cabaran semasa.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua graduan atas pencapaian yang membanggakan ini.
- Butiran
- Kategori: BERITA
- Jumlah paparan: 297
Chenor - 21 Ogos 2025M | 27 Safar 1447H. Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP) melalui Kompleks Pemuliaan Al-Quran Negeri Pahang hari ini menerima kunjungan lawatan penanda aras daripada Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Jengka.
Rombongan itu diketuai oleh Imam 1 Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Ustaz Mohd Fikri Bin Hamzah, dan disambut mesra oleh En. Noridzuan Bin Abdul Manan, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penyelidikan JAIP.

Sepanjang lawatan, para peserta diberi taklimat ringkas mengenai fungsi serta peranan Kompleks Pemuliaan Al-Quran oleh En. Mohamad Azrul Azmi Bin Abdullah, Penyelaras Kompleks, sebelum dibawa meninjau fasiliti dan kawasan pemprosesan al-Quran di kompleks berkenaan.
Lawatan ini diadakan bertujuan memperkukuh jalinan kerjasama antara kedua-dua institusi dalam usaha menyemarakkan lagi agenda pemuliaan al-Quran di Negeri Pahang.
“Semoga lawatan ini menjadi titik tolak kepada perkongsian pengalaman dan kepakaran dalam memperkasa gerak kerja pemeliharaan serta penghayatan al-Quran di kalangan masyarakat
- Butiran
- Kategori: BERITA
- Jumlah paparan: 292
Jerantut - 21 Ogos 2025M / 27 Safar 1447H. Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) terus memperkukuh integriti serta ketahanan pegawai penguatkuasa agamanya melalui penganjuran Kursus Jati Diri Pegawai Penguatkuasa Agama Siri 2/2025 yang berlangsung di Kem Batalion 2 Rejimen 505 Askar Wataniah, Kem Susur Tembeling, di sini.
Program tiga hari yang bermula pada 19 Ogos itu menghimpunkan seramai 40 orang anggota penguatkuasa agama dengan dibantu lima orang urus setia.

Majlis penutup kursus diserikan dengan kehadiran Timbalan Pengarah JAIP, YH Dato’ Abdul Zaki bin Mohd Zain, yang dalam ucapannya menekankan peri pentingnya jati diri yang kental serta disiplin tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai penguatkuasa agama.
“Pegawai penguatkuasa agama bukan sahaja perlu tegas dalam menjalankan tugas, tetapi juga memiliki sahsiah seimbang, keyakinan diri yang tinggi serta ketahanan mental dan emosi yang mantap,” tegas beliau.

Kursus berkenaan dirangka khusus bagi melahirkan anggota penguatkuasa yang lebih berdaya tahan, berdisiplin serta mampu memikul amanah dengan penuh dedikasi, seiring dengan peranan JAIP dalam menjaga kemaslahatan umat Islam di negeri Pahang.
- Butiran
- Kategori: BERITA
- Jumlah paparan: 256
Chenor - 21 Ogos 2025M / 27 Safar 1447H. Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dengan kerjasama Sekolah Menengah Agama (SMA) Maran telah berjaya menganjurkan Program Pemuliaan al-Quran bertempat di Kompleks Pemuliaan al-Quran Negeri Pahang, di sini hari ini.
Program yang disertai oleh para guru dan pelajar SMA Maran itu dimulakan dengan sesi taklimat serta soal jawab berhubung proses pemuliaan al-Quran yang disampaikan oleh Penyelaras Kompleks, En. Mohamad Azrul Azmi bin Abdullah.

Peserta kemudiannya berpeluang melawat ke Galeri Penyelidikan serta merasai pengalaman melaksanakan proses penyelenggaraan abu teks dan bahan al-Quran yang rosak.

Turut hadir memeriahkan program ialah En. Noridzuan bin Abdul Manan, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan JAIP, serta En. Mohd Fairuz bin Ab Kudus, Pengetua SMA Maran.

Penganjuran program ini diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya golongan pelajar mengenai kepentingan menjaga kesucian al-Quran, selain memberi pendedahan langsung tentang kaedah pemuliaannya.
- Butiran
- Kategori: BERITA
- Jumlah paparan: 306
Pekan - 18 Ogos 2025M/24 Safar 1447H. Program Cakna Addin Daerah Pekan Tahun 2025M/1447H telah diadakan pada 18 Ogos 2025 bertempat di Kolej Komuniti Pekan. Program ini adalah anjuran bersama Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Islam Pahang & Pejabat Agama Islam Daerah Pekan dengan kerjasama Kolej Komuniti Pekan.

Program yang disertai lebih kurang 80 orang peserta ini terdiri daripada pelajar kolej komuniti Pekan, Pensyarah & kakitangan Pejabat Agama Islam Pekan. Objektif utama program ini diadakan untuk memberi pendedahan dan kefahaman tentang akidah islamiah yang sebenar selain memberi penjelasan tentang isu-isu akidah kontemporari dan pengaruh media sosial terhadap perkembangan ajaran-ajaran sesat.
Program ini telah disampaikan oleh penceramah berpengalaman iaitu Encik Mohamad Azhan bin Mohd Taib, Penolong Pengarah Unit Penapisan Media JAIP dan Puan Naemah Fairuz Binti Mohd Jelani, Penolong Pengarah Unit Akidah Dan Syariah, JAIP.


Program ini telah dirasmikan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Pahang, Tuan Noridzuan Bin Abdul Manan. Turut hadir, Al Fadhil Qadhi Pejabat Agama Islam Daerah Pekan, Tuan Haji Mohd Aris bin Jamin dan Timbalan Pengarah Pengurusan Kolej Komuniti Pekan, Tuan Syed Mohd Hafizal Bin Syed Ali.
Lebih banyak artikel..
Halaman 3 dari 5